Friday, August 14, 2009

Persaudaraan Islam




Assalamualaikum wbt.

Semoga para pembaca berada di bawah rahmat Allah SWT dan menjalinkan ukhwah yang pada sesama umat Islam tanpa mengenal latar belakang peribadi.

Pada entri kali ini, saya ingin membicarakan tentang hubungan persaudaraan sesama muslim.

Di dalam Al-Quran sudahpun disebut tentang pentingnya ukhwah Islamiah itu dan janganlah umat Islam itu berpecah belah.

Firman Allah SWT;

"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertengkar sesamamu, nanti kamu menjadi lemah dan hilang kekuatanmu. Dan tabahlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang tabah"

Surah Al-Anfal: 46




Rasulullah SAW juga pernah menyebut;

“Janganlah kamu saling memutuskan silatur-rahim , janganlah kamu saling belakang-membelakangi , janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad-menghasad . Sebaliknya jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara . Tidak halal (haram) bagi seorang muslim itu memulaukan saudaranya ( yang mukmin ) melebihi tiga hari”.
(Hadith Riwayat Muslim)


“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih sayang dan akan jauhlah permusuhan” .

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Atas dasar persaudaraan ini, Rasulullah SAW melarang kita daripada membuka aib saudara kita meskipun saudara itu menyakiti diri kita.

“Barangsiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari Qiamat” .

(Hadis riwayat Al-Tirmizi)


Dan kerana persaudaraan yang mulia ini, Allah SWT telah berfirman bahawa kita telah diselamatkan dari jurang neraka kerana mendekati Islam dan menjalinkan persaudaraan.

"Berpegang teguhlah kamu sekalian pada agama Allah, dan janganlah kamu berpecah belah. Ingatilah karunia Allah kepadamu, ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu dipersatukan-Nya hatimu, sehingga kamu dengan karunia Allah itu menjadi bersaudara. Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka, lalu Allah melepaskanmu dari sana. Demikianlah Allah menjelaskan keterangan-keteranganNya kepadamu supaya kamu mendapat petunjuk."

Surah Ali-'Imran: 103


Wahai saudara semuslimku!

Sekiranya kita masih terpinga-terpinga bagaimanakah untuk mendapatkah contoh terbaik dalam bersaudara, saya ingin memberi contoh masa kini iaitu apa yang telah dibuat oleh HAMAS terhadap FATAH.

Meskipun FATAH pada masa kini adalah suatu organisasi yang korup, menyelewang harta rakyat, membunuh umat Islam dan rakyat Palestin serta ahli HAMAS, namun atas dasar ukhwah Islamiyah, HAMAS meletakkan lampu merah daripada menyakiti saudara FATAH. Bahkan mereka dengan lemah lembut ingin mengajak FATAH untuk berhenti dari melakukan perkara keji itu dan kembali kepada agama ini.

Firman Allah SWT;

"Dan katakanlah kepada para hambaku-Ku: "Hendaklah mereka berbicara dengan ucapan yang sebaik-baiknya" dalam berdakwah. Bahwasanya setan itu suka menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya antara setan dan manusia terbentang permusuhan sejak dahulu".

Surah Al-'Isra: 53


Ketahuilah kita bahawa janganlah sesekali kita ber"sekaki" dengan musuh Allah (sudah tentu mereka adalah musuh kita!).

Allah telah menegaskan di dalam al-Quran;

"Adapun orang-orang yang kafir, mereka bersetia kawan terhadap sesamanya dalam menghadapi kaum mukmin. Jika kamu tidak menggalang kesetiakawanan pula seperti mereka, akan terjadilah kekacauan dan kerusakan yang besar di muka bumi ini".

Surah Al-Anfal: 73


Wahai saudara seIslamku,

Saya melihat pada masa kini, apabila disebut sahaja seorang muslim itu menjadi ahli UMNO atau PAS, maka kedua-dua pihak seolah-olah mengasingkan diri mereka seperti mereka adalah musuh tetapi apabila disebut pemuda DAP, maka ahli PAS akan mendampingi mereka seolah-olah mereka adalah saudara mereka.

Ketahuilah, sesungguhnya Islam itu bersaudara. Contohilah ahli-ahli HAMAS yang membuka tangan mereka dengan seluasnya untuk menerima FATAH tanpa memikirkan dan menyebut serta mengungkit keburukan FATAH.

Islam itu bersaudara, janganlah kerana perkara buruk yang dilakukan muslim itu, kita mengasingkan mereka, menolak mereka sebulat-bulatnya.

Mengapakah tidak kita berdakwah dengan berhemah pada mereka. Sesungguhnya Islam ini milik semua, tidak kita dia adalah PAS, UMNO, PKR atau sesiapa sahaja. Ajarilah mereka tentang kemuliaan Islam ini.

Bukankah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan yang mulia dalam berdakwah? Pelajarilah dari sirah Rasulullah SAW sekiranya kita ingin bersama dengan Rasulullah SAW di syurga kelak.

Semoga kita sentiasa bersaudara dan saling ingat-mengingati.