Sunday, July 5, 2009

Salah mereka atau kita?

Pada penulisan saya yang lepas, tentang "duduk sebentar, beriman selamanya", saya telah menyebut tentang ramai dari kalangan umat Islam sendiri tidak cuba untuk mengenal tuhan mereka, lalu mereka menjadi kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Saya sangkakan itulah sebab kenapa mereka jadi begitu. Enggan melihat kepada kuasa tuhan yang ada di hadapan mereka sendiri.

Tetapi, sekarang saya sedar bahawa saya tersilap.

Perkara pokok di dalam hal ini bukan berpunca daripada kelemahan diri mereka, tetapi sebenarnya sistem yang berada di sekeliling kita.

Tidak kira di mana sahaja umat manusia itu berada, hanyalah sistem nafsu yang membelenggu kita. Tetapi mungkin ada beberapa tempat yang tidak dibelenggu dengan sistem hina itu, seperti Gaza dan Makkah. Tetapi apa yang penting ialah sistem nafsu itu menguasai dunia ini.

Sekiranya seseorang itu mula berfikir tentang keagungan Allah SWT, pasti mereka akan diusik oleh nafsu-nafsu yang berada di sekeliling mereka menyebabkan mereka mula alpa dan kembali seperti dahulu.

Saya mula berfikir hal ini selepas diberitahu oleh ustaz-ustaz di dalam ceramah mereka tentang kepentingan mentarbiyah orang Islam. Lalu, saya mula berfikir tentang pengutusan Rasulullah SAW kepada penduduk Arab Quraisy.

Sekiranya manusia itu akan dipersalahkan semata-mata kerana tidak melihat kepada kuasa tuhan yang berada di sekeliling mereka, maka apakah sebab Rasul diutuskan pada setiap umat?

Bukankah tugas seorang Rasul itu adalah untuk membimbing manusia kembali ke jalan yang benar?

Maka dengan itu, bukanlah kesalahan semata-mata pada seseorang itu sekiranya dia melakukan amal jahiliyah pada masa sekarang kerana mereka telah dilahirkan di dalam satu sistem yang menyempitkan pemikiran mereka dan menjadikan mereka kepada hamba duniawi.

Kerana itulah, bagi umat Islam yang sedar akan perkara ini, mereka hendaklah dengan segera menggunakan segala tenaga yang ada untuk membimbing kembali umat manusia ini ke jalan yang diredhai-Nya.

Oleh itu, sama-samalah kita berganding bahu di dalam saf Islam untuk mendapatkan redha Allah dan mengembalikan manusia ini ke jalan-Nya seterusnya memartabatkan agama ini di muka bumi ini.

1 comment: