Sunday, July 26, 2009

Mungkinkah ini bala tuhan?



Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Mutakhir ini, sekiranya kita mengkaji apa yang sedang berlaku di Malaysia, kita dapat melihat bahawa Melayu seakan-akan dipijak oleh bangsa lain (Sila baca Cina dan India yang bukan beragama Islam). Kita juga dapat lihat bagaimana orang-orang Melayu yang Islam juga bertungkus lumus membantu orang-orang bukan Islam dalam mempertahankan hak (disebut sebagai hak asasi manusia).

Hari ini, 26 Julai 2009, saya membaca sebuah artikel karangan Dr Ridhuan Teh dalam Mingguan Malaysia, tentang bagaimana orang Melayu itu dihina sendiri di dalam tanah air sendiri. Saya amat menyarankan kepada mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam membaca karangan beliau.


Bukankah disebut di dalam alquran bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan meredhai umat Islam sehingga umat Islam itu mengikuti telunjuk mereka? Saya merasa pelik bagaimanakah seseorang itu boleh menolak untuk bekerjasa dengan mereka yang seakidah (sila baca mereka mengucap 2 kalimah syahadah) tetapi sanggup pula bekerjasa dengan mereka yang terang-terang menolak lagi menghina hukum Allah?

Mereka beralasankan bahawa "orang-orang yang seakidah dengan mereka itu" tidaklah ikhlas dan banyak melakukan penipuan, tetapi saya teringat akan kisah di mana seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid telah membunuh seorang lelaki yang mengucapkan 2 kalimah syahadah sebelum dibunuh oleh Usamah. Lantaran itu Nabi memarahi sahabat itu kenapa dibunuh orang itu sedangkan orang itu mengucap kalimah syahadah. Usamah menjawab, bahawa orang itu hanya berpura dan ingin lari dari kematian. Nabi menempelak jawapan Usamah dengan mengatakan; “Apakah kamu telah membelah hatinya? Apa yang hendak kamu lakukan dengan kalimat Lailaha illallah (yang diucapkannya)?”

Maka, apabila kita mengkaji sirah kita dapat perhatikan apa yang berlaku pada masa kini, banyak sudah ditunjukkan oleh sirah. Bagaimanakah Kerajaan Melaka itu boleh jatuh ke tangan Portugis sedangkan kita tahu bahawa selat melaka tidak dapat dimasuki oleh kapal-kapal besar portugis? Pastilah Portugis itu dapat masuk kerana dibantu oleh sampan-sampan kecil. Tetapi siapakah yang menyewakan sampan-sampan itu? Saya tidak mahu menyebut tetapi menjadi tugas anda untuk mengkaji sejarah kita sendiri.

Oleh itu, apabila melihat fenomena yang terjadi di Malaysia kini, mungkinkah ini sebebnarnya satu bala daripada Allah kepada orang Melayu yang beragama Islam khususnya kerana memalingkan diri mereka dari Al-Quran dan As-Sunnah serta tidak mengkaji sejarah Islam dan Tanah Melayu sendiri? Mungkin bala itu tidaklah berbentuk tsunami dan gempa bumi tetapi tidakkah kita merasakan apabila kita dihina di negara sendiri berupa satu bala dari Allah?

Kerana itu, menjadi tugas kita sebagai daie untuk menyedarkan umat Melayu yang beragama Islam khususnya supaya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah agar bala Allah yang lebih besar tidak menimpa diri kita semua.

Semoga Allah mengampuni dosa semua umat Islam dan memberi hidayah serta kekuatan kepada kita semua.

Sunday, July 5, 2009

Salah mereka atau kita?

Pada penulisan saya yang lepas, tentang "duduk sebentar, beriman selamanya", saya telah menyebut tentang ramai dari kalangan umat Islam sendiri tidak cuba untuk mengenal tuhan mereka, lalu mereka menjadi kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Saya sangkakan itulah sebab kenapa mereka jadi begitu. Enggan melihat kepada kuasa tuhan yang ada di hadapan mereka sendiri.

Tetapi, sekarang saya sedar bahawa saya tersilap.

Perkara pokok di dalam hal ini bukan berpunca daripada kelemahan diri mereka, tetapi sebenarnya sistem yang berada di sekeliling kita.

Tidak kira di mana sahaja umat manusia itu berada, hanyalah sistem nafsu yang membelenggu kita. Tetapi mungkin ada beberapa tempat yang tidak dibelenggu dengan sistem hina itu, seperti Gaza dan Makkah. Tetapi apa yang penting ialah sistem nafsu itu menguasai dunia ini.

Sekiranya seseorang itu mula berfikir tentang keagungan Allah SWT, pasti mereka akan diusik oleh nafsu-nafsu yang berada di sekeliling mereka menyebabkan mereka mula alpa dan kembali seperti dahulu.

Saya mula berfikir hal ini selepas diberitahu oleh ustaz-ustaz di dalam ceramah mereka tentang kepentingan mentarbiyah orang Islam. Lalu, saya mula berfikir tentang pengutusan Rasulullah SAW kepada penduduk Arab Quraisy.

Sekiranya manusia itu akan dipersalahkan semata-mata kerana tidak melihat kepada kuasa tuhan yang berada di sekeliling mereka, maka apakah sebab Rasul diutuskan pada setiap umat?

Bukankah tugas seorang Rasul itu adalah untuk membimbing manusia kembali ke jalan yang benar?

Maka dengan itu, bukanlah kesalahan semata-mata pada seseorang itu sekiranya dia melakukan amal jahiliyah pada masa sekarang kerana mereka telah dilahirkan di dalam satu sistem yang menyempitkan pemikiran mereka dan menjadikan mereka kepada hamba duniawi.

Kerana itulah, bagi umat Islam yang sedar akan perkara ini, mereka hendaklah dengan segera menggunakan segala tenaga yang ada untuk membimbing kembali umat manusia ini ke jalan yang diredhai-Nya.

Oleh itu, sama-samalah kita berganding bahu di dalam saf Islam untuk mendapatkan redha Allah dan mengembalikan manusia ini ke jalan-Nya seterusnya memartabatkan agama ini di muka bumi ini.