Wednesday, June 17, 2009

Khalifah is the only solution?


Sedang saya membawa motorsikal buruk Kriss saya di sekitar seksyen 7, tiba-tiba sebuah kereta meluncur di sebelah kiri saya sambil membawa sticker yang tertampal di cermin belakang;

"Khalifah Is The Only Solution"

Lalu saya bertanya kepada diri sendiri.

Adakah benar sekiranya wujudnya Khalifah Islam yang dapat memacu umat ini, maka selamatlah umat Islam. Bebaskah pemikiran muslimin dari pemikiran kehidupan ala barat apabila dilantiknya seorang khalifah? Apakah setiap individu itu akan memahami Islam dengan sebenarnya-benarnya seperti para sahabat memahami Islam dan Abu Bakar dilantik menjadi khalifah?

Tiba-tiba, terlintaslah pada fikiran saya akan fenomena yang terjadi di bumi Malaysia ini.

Satu parti politik berfahaman Islam berjaya menguasai satu negeri. Tetapi, sepanjang pemerintahan parti itu di negeri tersebut, saya dapati perubahan dia hanyalah pada iklan-iklan yang menampilkan wanita bertudung, dan juga beberapa Islamic features. Tetapi adakah ia memadai? Satu parti Islam berjaya memerintah satu negeri, sebuah negeri yang kecil kalau nak dibandingkan dengan satu khalifah yang memegang satu dunia Islam.

Apakah rakyat negeri itu telah berpaling muka mereka dari duniawi ini? Apakah rakyat mereka meletakkan dunia ini di tangan mereka, tidak di hati? Apakah wujudnya ketenteraman pada jiwa rakyat negeri itu dari mana-mana masalah sosial?

Maka, dengan itu saya bertanya lagi. Adakah hanya dengan wujudnya khalifah seluruh kekusutan yang melanda umat Islam akan terlerai? Sedangkan tanah yang kecil masih lagi bermasalah, bagaimana pula ingin memerintah satu dunia?

Di sini, bukanlah saya ingin memperlekehkan mana-mana pihak. Tetapi saya melihat cara amal dakwah As-Syahid Imam Hasan Al-Banna adalah yang terbaik dalam menangani masalah yang berlaku pada umat Islam kini.

Tersusun dan berobjektif.

Maratibul Amal.

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan 7 peringkat dalam berdakwah.

Tahap pertama ialah pembentukan dan pembaikian diri sehingga menjadi individu muslim yang bertubuh kuat, berakhlak, minda yang intelek, mampu berusaha, memiliki akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, sentiasa bermujahadah jiwa, menjaga masa, urusannya bersistematik dan mampu bermanfaat untuk orang lain.

Tahap kedua ialah pembentukan rumahtangga muslim. Yakni membimbing ahli keluarganya menghormati fikrahnya, menjaga adab dan akhlak Islam, bijak memilih pasangan, mengajar tentang hak kewajipannya, mendidik anak dengan asas-asas Islam. Pendek kata anggota rumahnya menjaga kewajipan dan mengikut cara hidup Islam.

Tahap ketiga ialah membentuk dan membimbing masyarakat. Peringkat ini bermaksud menyebarkan dakwah ke arah amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebuah masyarakat yang ingin dibentuk di sini ialah masyarakat yang hidup dengan jiwa Rabbani ataupun ada rasa kepercayaan terhadap Tuhan. Masyarakat ini juga menyokong segala usaha-usaha kebaikan dan kebajikan,serta menolak kemunkaran seperti kekejian, kezaliman dsb. Ini bermakna seorang individu Muslim mula menjalankan dakwah ke atas orang lain.

Tahap keempat ialah membebaskan tanahair dari kuasa politik, ekonomi, kehidupan ataupun rohani dari kuasa dan pengaruh asing yang tidak berlandaskan ciri-ciri Islam.

Tahap kelima ialah membaiki kerajaan sehingga melaksanakan tanggungjawab dan memberikan khidmat untuk kebaikan rakyat. Bagi rakyat beragama Islam mereka tertakluk untuk melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh agama dan peraturan Islam. Golongan yang beragama dan tidak beragama selain Islam, mereka diganding dan diminta bantuan untuk melaksanakan ataupun memegang kepimpinan yang penting dalam kerajaan sejajar dengan prinsip-prinsip umum yang disepakati dengan Islam (contohnya menjaga keadilan, keamanan, kebajikan, kesamarataan etc)

Tahap keenam ialah mengembalikan entiti dan negara umat Islam serta membebaskan tanah airnya serta mengembalikan kegemilangan, thaqafah, kebudayaan, ketamadunan dan menyatukan suara mereka ke arah mewujudkan kembali khilafah.

Tahap ketujuh ialah memimpin dunia dan mengajak kepada cara hidup Islam di segenap penjuru alam.

(dipetik dari http://chemekmolek.wordpress.com)

Dalam rangka kerja dakwah ini, As-Syahid telah meletakkan bahawa pembentukan individu itu adalah paling penting sebelum dakwah itu diperluaskan kepada masyarakat dan negara seterusnya satu dunia.

Walaupun ianya satu proses yang perlahan, tetapi sekiranya kita mengkaji semula, inilah juga jalan kerja yang dipilih oleh Rasulullah SAW apabila mula-mula mendapat wahyu daripada Allah. Bermula dengan mendakwah kepada isteri baginda, Rasulullah menyebarkan sayap dakwah kepada orang yang rapat dengan baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Lalu apabila berjaya mendakwah sekumpulan orang Quraisy ketika itu, maka Rasulullah menjalankan proses pentarbiyahan di rumah Al-Arqam. Dan akhirnya dakwah itu diperluaskan ke Mekah dan Madinah.

Lihatlah, inilah sebenar jalan kerja Rasulullah. Tidaklah terburu-buru. Baginda memulakan dengan kaum kerabat baginda seterusnya kepada yang terdekat dan akhirnya barulah diperluaskan kepada masyarakat.

Kerana itu, fikirlah sejenak. Adakah setiap individu muslim di negara ini sudah bersedia untuk menjadi khalifah kepada dunia ini. Bukanlah khalifah dunia Islam, tetapi khalifah yang telah disebut oleh Allah SWT;

''Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ''Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'' Mereka berkata: ''Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?''. Tuhan berfirman: ''Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui''
(Al-Baqarah:30)


Bukankah salah satu sebab kejatuhan Khalifah Turki Othmaniah disebabkan kedengkian beberapa puak Arab?

2 comments: