Friday, June 19, 2009

Iman Inside


Pernahkah terlintas di hati kita, apakah kita sebenarnya sudah beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar iman? Apakah dengan pelaksanaan amal ibadah sudah menjadikan kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah?

Di sini, saya ingin berkongsikan sebuah catatan ringkas daripada buku karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi bertajuk Iman dan Kehidupan (Al-Iman wal Hayyah)

Mengikut Dr Yusuf, Iman menurut pengertian yang sesungguhnya ialah suatu kepercayaan yang meresap ke dalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup,tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Jadi, iman itu BUKANLAH sekadar perbuatan semata-mata, dan bukan pula hanya merupkan pengetahuan tentang rukun iman.

Di bawah ini adalah penjelasan tentang hakikat keimanan daripada Dr. Yusuf Al-Qardhawi:

Sesungguhnya iman itu bukanlah semata-mata pernyataan seseorang dengan lidahnya, bahawa dia orang beriman (mukmin), kerana banyak orang-orang munafik yang mengaku beriman dengan lidahnya, sedang hatinya tidak percaya, sebagaimana disebutkan di dalam firman Allah SWT;

"Dan diantara manusia itu ada yang mengatakan, "kami beriman kepada Allah dan hari Akhirat, sedang yang sebenarnya mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan menipu orang-orang yang beriman, tetapi yang sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri dan mereka tidak sedar."
Al-Baqarah: 8-9


Iman itu bukan pula semata-mata mengerjakan amal dan syi'ar yang biasa dikerjakan oleh orang-orang beriman seperti Solat Jumaat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji, kerana banyak penipu-penipu besar yang pada lahirnya mengerjakan perbuatan yang soleh dan melakukan ibadat, sedangkan dalam hati mereka sebenarnya kosong dari pengikhlasan kepada Allah SWT, sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT;

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu hendak menipu Allah, dan Allah menipu mereka. Apabila mereka berdiri mengerjakan sembahyang, mereka berdiri dengan malas, mereka ria (mengambil muka) kepada manusia dan tiada mengingati Allah, melainkan sedikit sekali."
An-Nisa': 142


Bukan pula iman itu semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman, kerana ramai orang yang mengetahui hakikat iman itu, padahal mereka tidak beriman, sepertimana golongan-golongan bijak dari Barat, yang mana mereka mengkaji tentang Islam dan Iman, tetapi hati mereka masih tidak beriman kepada Allah. Firman Allah SWT;

"Mereka menyangkal (membantah) keterangan-keterangan (agama) Allah kerana dengki dan sombong, padahal hati mereka sendiri meyakininya."
An-Naml: 14


Maka diperlukan keimanan itu dapat diterima akal sampai kepada tingkat keyakinan yang teguh kuat tidak digoncangkan bimbang dan ragu, sebagaimana disebutkan di dalam firman Allah SWT;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang beriman (percaya) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu."
Al-Hujurat: 15


Keimanan itu disamping pengetahuan, pengertian dan kepercayaan yang kuat perlu sejalan dengan ketundukan hati, kepatuhan kemahuan dan kerelaan menjalankan perintah dan putusan dengan kejujuran hati, sebagaimana Allah SWT berfirman;

" Maka demi Tuhan engkau, mereka belumlah dinamakan beriman, sebelum mereka meminta keputusan kepada engkau (Muhammad) dalam perkara yang menjadi perselisihan diantara mereka, kemudian itu mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau putuskan dan mereka menerima dengan senang hati."
An-Nisa': 65


Keimanan itu di samping pengetahuan dan pengertian hendaklah menimbulkan semangat bekerja dan berkorban dengan harta dan diri, sesuai dengan kehendak iman dan kewajipan orang beriman. Didapati sifat orang beriman itu dalam Al-Quran, diantaranya;

" Sesungguhnya orang-orang beriman itu, apabila disebut nama Allah, hati mereka penuh ketakutan, dan apabila dibacakan pada mereka ayat-ayat (keterangan) Allah, keimanan mereka bertambah kerananya dan mereka menyerahkan diri kepada Tuhannya. Mereka mengerjakan sembahyang dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang sebenarnya beriman."
Al-Anfal: 2-4


Al-Quran selalu mengemukakan dan menggambarkan iman itu dalam bentuk budi pekerti yang baik dan amal yang berguna, sebagai garis pemisah antara orang-orang beriman dengan orang-orang kafir dan munafik, sebagaiman disebutkan di dalam firman Allah SWT;

" Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yakni) mereka yang khusyu' dalam sembahyangnya. Dan yang menjauhkan diri dari (perkataan dan perbuatan) yang tidak berguna. Dan yang mengeluarkan zakat. Dan yang menjaga kesopanannya....."
Al-Mukminun: 1-5


Daripada penjelasan ini, dapatlah kita ketahui bahawa iman itu bukanlah percakapan mengatakan aku sudah beriman, bukanlah juga pada perbuatan amal soleh semata-mata tanpa mempunyai keikhlasan dalam beramal, dan juga bukanlah sekadar mempunyai pengetahuan yang meluas.

Tetapi iman adalah satu kepercayaan yang teguh dan ianya perlu juga ditampilkan dalam kehidupan harian. Sekiranya seseorang itu kerap mengerjakan sembahyang di masjid tetapi mulutnya kerap menyakitkan hati orang lain, adakah orang itu dikira beriman berdasarkan keterangan-keterangan di atas?

Bukankah Rasulullah telah menceritakn sebuah kisah yang berkaitan dengan ini dahulu? Apabila seorang wanita yang kerap beribadah di malam hari, dan berpuasa di siang hari, tetapi melakukan penganiyaan terhadap binatang makhluk Allah. Dan apakah penghujungnya?




Wednesday, June 17, 2009

Khalifah is the only solution?


Sedang saya membawa motorsikal buruk Kriss saya di sekitar seksyen 7, tiba-tiba sebuah kereta meluncur di sebelah kiri saya sambil membawa sticker yang tertampal di cermin belakang;

"Khalifah Is The Only Solution"

Lalu saya bertanya kepada diri sendiri.

Adakah benar sekiranya wujudnya Khalifah Islam yang dapat memacu umat ini, maka selamatlah umat Islam. Bebaskah pemikiran muslimin dari pemikiran kehidupan ala barat apabila dilantiknya seorang khalifah? Apakah setiap individu itu akan memahami Islam dengan sebenarnya-benarnya seperti para sahabat memahami Islam dan Abu Bakar dilantik menjadi khalifah?

Tiba-tiba, terlintaslah pada fikiran saya akan fenomena yang terjadi di bumi Malaysia ini.

Satu parti politik berfahaman Islam berjaya menguasai satu negeri. Tetapi, sepanjang pemerintahan parti itu di negeri tersebut, saya dapati perubahan dia hanyalah pada iklan-iklan yang menampilkan wanita bertudung, dan juga beberapa Islamic features. Tetapi adakah ia memadai? Satu parti Islam berjaya memerintah satu negeri, sebuah negeri yang kecil kalau nak dibandingkan dengan satu khalifah yang memegang satu dunia Islam.

Apakah rakyat negeri itu telah berpaling muka mereka dari duniawi ini? Apakah rakyat mereka meletakkan dunia ini di tangan mereka, tidak di hati? Apakah wujudnya ketenteraman pada jiwa rakyat negeri itu dari mana-mana masalah sosial?

Maka, dengan itu saya bertanya lagi. Adakah hanya dengan wujudnya khalifah seluruh kekusutan yang melanda umat Islam akan terlerai? Sedangkan tanah yang kecil masih lagi bermasalah, bagaimana pula ingin memerintah satu dunia?

Di sini, bukanlah saya ingin memperlekehkan mana-mana pihak. Tetapi saya melihat cara amal dakwah As-Syahid Imam Hasan Al-Banna adalah yang terbaik dalam menangani masalah yang berlaku pada umat Islam kini.

Tersusun dan berobjektif.

Maratibul Amal.

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan 7 peringkat dalam berdakwah.

Tahap pertama ialah pembentukan dan pembaikian diri sehingga menjadi individu muslim yang bertubuh kuat, berakhlak, minda yang intelek, mampu berusaha, memiliki akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, sentiasa bermujahadah jiwa, menjaga masa, urusannya bersistematik dan mampu bermanfaat untuk orang lain.

Tahap kedua ialah pembentukan rumahtangga muslim. Yakni membimbing ahli keluarganya menghormati fikrahnya, menjaga adab dan akhlak Islam, bijak memilih pasangan, mengajar tentang hak kewajipannya, mendidik anak dengan asas-asas Islam. Pendek kata anggota rumahnya menjaga kewajipan dan mengikut cara hidup Islam.

Tahap ketiga ialah membentuk dan membimbing masyarakat. Peringkat ini bermaksud menyebarkan dakwah ke arah amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebuah masyarakat yang ingin dibentuk di sini ialah masyarakat yang hidup dengan jiwa Rabbani ataupun ada rasa kepercayaan terhadap Tuhan. Masyarakat ini juga menyokong segala usaha-usaha kebaikan dan kebajikan,serta menolak kemunkaran seperti kekejian, kezaliman dsb. Ini bermakna seorang individu Muslim mula menjalankan dakwah ke atas orang lain.

Tahap keempat ialah membebaskan tanahair dari kuasa politik, ekonomi, kehidupan ataupun rohani dari kuasa dan pengaruh asing yang tidak berlandaskan ciri-ciri Islam.

Tahap kelima ialah membaiki kerajaan sehingga melaksanakan tanggungjawab dan memberikan khidmat untuk kebaikan rakyat. Bagi rakyat beragama Islam mereka tertakluk untuk melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh agama dan peraturan Islam. Golongan yang beragama dan tidak beragama selain Islam, mereka diganding dan diminta bantuan untuk melaksanakan ataupun memegang kepimpinan yang penting dalam kerajaan sejajar dengan prinsip-prinsip umum yang disepakati dengan Islam (contohnya menjaga keadilan, keamanan, kebajikan, kesamarataan etc)

Tahap keenam ialah mengembalikan entiti dan negara umat Islam serta membebaskan tanah airnya serta mengembalikan kegemilangan, thaqafah, kebudayaan, ketamadunan dan menyatukan suara mereka ke arah mewujudkan kembali khilafah.

Tahap ketujuh ialah memimpin dunia dan mengajak kepada cara hidup Islam di segenap penjuru alam.

(dipetik dari http://chemekmolek.wordpress.com)

Dalam rangka kerja dakwah ini, As-Syahid telah meletakkan bahawa pembentukan individu itu adalah paling penting sebelum dakwah itu diperluaskan kepada masyarakat dan negara seterusnya satu dunia.

Walaupun ianya satu proses yang perlahan, tetapi sekiranya kita mengkaji semula, inilah juga jalan kerja yang dipilih oleh Rasulullah SAW apabila mula-mula mendapat wahyu daripada Allah. Bermula dengan mendakwah kepada isteri baginda, Rasulullah menyebarkan sayap dakwah kepada orang yang rapat dengan baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Lalu apabila berjaya mendakwah sekumpulan orang Quraisy ketika itu, maka Rasulullah menjalankan proses pentarbiyahan di rumah Al-Arqam. Dan akhirnya dakwah itu diperluaskan ke Mekah dan Madinah.

Lihatlah, inilah sebenar jalan kerja Rasulullah. Tidaklah terburu-buru. Baginda memulakan dengan kaum kerabat baginda seterusnya kepada yang terdekat dan akhirnya barulah diperluaskan kepada masyarakat.

Kerana itu, fikirlah sejenak. Adakah setiap individu muslim di negara ini sudah bersedia untuk menjadi khalifah kepada dunia ini. Bukanlah khalifah dunia Islam, tetapi khalifah yang telah disebut oleh Allah SWT;

''Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ''Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'' Mereka berkata: ''Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?''. Tuhan berfirman: ''Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui''
(Al-Baqarah:30)


Bukankah salah satu sebab kejatuhan Khalifah Turki Othmaniah disebabkan kedengkian beberapa puak Arab?

Satu ayat untuk semua


Sambil mengulangkaji pelajaran, tiba-tiba saya mendapat satu ilham untuk menulis dalam blog ini. Satu ayat untuk semua saya memilih tajuknya.

Seorang ustaz pernah memberitahu bahawa dalam berdakwah, proses mentarbiyah dan ditarbiyah perlu berjalan seiring. Bermaksud, seseorang itu tidaklah ditarbiyah sehingga membukit tinggi, barulah dia mentarbiyah orang lain. Kerana sekiranya dia diperlakukan demikian, maka lambatlah proses dakwah dijalankan.

Pernah diceritakan pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang lelaki dari satu perkampungan datang berjumpa Rasulullah dan menanyakan soalan. Lelaki itu meminta Rasulullah mengajarkannya tentang Islam. Lalu diberitahu Rasulullah SAW bahawa Islam itu adalah menyembah Allah dan mengakui bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah. Maka pulanglah lelaki itu ke kampung halamannya untuk mengajarkan "agama Islam" kepada penduduk kampungnya.

Begitu juga kisah Mus'ab bin Umair di mana tiada satu pintu rumah yang tidak diketuk melainkan beliau ingin berdakwah kepada penghuni rumah tersebut. Meskipun agama Islam masih tidak lengkap ketika itu, tetapi Mus'ab berjaya mengIslamkan penduduk Madinah.

Kerana itu, ajarkanlah sesiapa sahaja walau sepotong ayat. Kerana, dengan mengajarkan pada orang lain, ia dapat membantu samada anda memahami atau tidak ayat itu. Bukankah mengajarkan pada orang lain ilmu Matematik Tambahan akan menjadikan anda lebih faham tentang permasalahan itu?

Berfikir sejenak, beriman selamanya.


Kenapa Allah perintahkan kita mesti menutup aurat? Tak bestlah macam ini, susah nak bergerak sana-sini.

Kenapa Allah mengharamkan arak? Bukankah arak itu satu kenikmatan, menghilangkan segala duka dan masalah?

Kenapa itu dan ini?

Apabila seseorang itu meragui akan intipati yang terkandung di dalam Islam, maka akan timbullah pertanyaan sebegini di dalam benak pemikiran mereka.

Kenapakah sampai timbul sekali pemikiran sebegitu rupa?

Adakah salah kerajaan yang terlalu menyempitkan pemikiran rakyatnya? Atau adakah salah ibubapa yang mendidik mereka? Ataupun salah diri sendiri yang menutup ruang hidayah?

Lalu saya berfikir.

Kenapa jadi begini? Siapa yang perlu dipersalahkan? Adakah para dai'e tidak menjalankan kerja dakwah mereka? Adakah salah orang lain? Adakah perlu diletakkan kesalahan itu pada diri orang lain sedangkan pada zaman ini, pelbagai ilmu mudah didapati?

Akhirnya, saya mendapat satu kesimpulan. Mungkin kesimpulan ini tidak berasas pada sesetengah orang. Tetapi pada pendapat saya, kalaulah mereka melakukan perkara ini, tentulah mereka akan merenung kembali untuk kembali ke jalan yang benar.

Maka, inilah kesimpulan saya.

Mereka tidak mahu berfikir!!

Sekiranya mereka berfikir dengan semua apa yang ada di hadapan mata mereka, pasti mereka akan ketemui dengan jawapan. Bahkan tidak perlu kepada apa yang di depan mereka. Lihatlah pada penciptaan manusia itu sendiri. Lihatlah pada diri sendiri.

Saya sebagai pelajar sains banyak dihebahkan dengan benda-benda kecil di dalam badan manusia. Terlalu complicated sebenarnya tubuh badan kita. Nampak sahaja mudah untuk menelah makanan lalu sampai ke perut dan kenyang, tetapi sebenarnya, bukanlah semudah itu.

Lihatlah betapa hebatnya pencipta manusia ini!

Di sini, saya ingin berkongsi salah satu dari ciptaan Allah SWT pada tubuh badan manusia. Iaitu sistem pemakanan yang serba ringkas.

Salivary gland (kelenjar) akan merembeskan satu rembesan yang dipanggil saliva ke dalam oral cavity (keseluruhan mulut kita). Kebiasaannya ia akan merembeskan secukupnya bagi memastikan mulut kita sentiasa "cukup basah" dan juga untuk membersihkan mulut dan lidah kita. Apabila kita mengunyah, salivary gland akan merembeskan lebih saliva supaya dapat melicinkan (lubricates), dissolves (lebih kurang macam "membanjirkan" makanan itu dengan saliva), dan memulakan proses dipanggil chemical breakdown, iaitu proses mengecilkan makanan itu kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil (contohnya starch kepada monosaccharides).

Makanan yang sudah dicerna di dalam mulut akan membentuk bolus (satu istilah yang dipanggil pada makanan yang dicerna di dalam mulut), lalu dibawa ke oropharynx dan laryngopharynx.






Muscular contraction (pengecutan otot) pada bahagian itu membantu menolak bolus itu melalui esphagus (satu saluran tiub dari mulut ke perut) ke perut. Ingatlah! Bawasanya semua proses yang berlaku ini adalah di bawah kawalan kita atau dipanggil involuntary.

Perhatikan apa yang berlaku semasa kita menelan makanan.

Bolus akan merangsang receptors yang terletak pada oropharynx untuk menghantar signal (impulses) ke medulla oblongata (iaitu satu bahagian di otak manusia). Kemudian, satu signal akan dihantar (the returning impulses) akan menyebabkan soft palate dan uvula (anak tekak). untuk menutup nasopharynx, di mana untuk menghindarkan makanan dan minuman dari memasuki nasal cavity (lubang pernafasan).


Dan banyak lagi keajaiban di dalam badan manusia ini. Semua ini dicipta oleh yang Maha Esa!

Sekiranya kita belajar untuk melihat diri kita, maka kita akan berasa kerdil dan hina. Apakah yang akan terjadi sekiranya otak kita tidak berfungsi dengan baik?

Apa yang kita nampak diluaran amatlah jauh berbeza sekali dengan apa yang berlaku di dalam. Cubalah anda menelan makanan dan sambil itu tarik nafas, mampukan anda menghirup udara? Maha Suci Allah yang telah menjadikan satu proses yang hebat pada tubuh manusia. Sekiranya kita mengatakan bahawa pencipta microsoft adalah seorang yang hebat, maka apakah definisi yang selayaknya diberikan kepada pencipta manusia ini? Satu penciptaan yang tidak mampu dicipta oleh sesiapa walau dikumpulkan semua bijaksana di muka bumi ini. Mintalah dicipta satu otak, pasti tidak dapat melawan penciptaan Allah yang Maha Agung ini.

Wahai orang yang mengaku beriman kepada Allah!

Mengapakah kamu masih mahu mendustakan kekuasaan Allah SWT sedangkan kekuasaanNya wujud di dalam diri kamu. Pernahkah kamu terfikir apakah mudah untuk kamu makan sekiranya Allah menghilangkan ibu jari tangan anda? Pernahkah anda berfikir sekiranya Allah tidak mengurniakan kamu nikmat pancaindera yang sedang kamu kecapi sekarang? Pernahkah kamu berfikir sekiranya Allah tidak mengurniakan kamu dengan nikmat tangan yang kamu gunai sekarang untuk memandu kereta-kereta mewah yang juga dikurnikan oleh Allah?

Wahai orang yang beriman!

Fikirlah asal tujuan kamu kenapa kamu di sini. Kenapa kamu di atas muka bumi ini? Apakah kamu ingin menjadi seperti seorang pengembara yang tiada halatuju di mana penghujungnya mati kerana masuk ke dalam parit yang besar? Atau apakah kamu ingin menjadi seperti seorang pengembara yang tahu destinasinya sambil dipermudahkan dengan bantuan gps?

Ketahuilah!

Bahawa hidup kita di muka bumi ini tidak lain adalah untuk beribadah kepada Allah SWT! Bukankah Allah telah berfirman;

"Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaKu?"
Az-Zariyat: 56


Apabila anda memahami kenapakah anda di atas muka bumi ini, maka segala persoalan anda akan terjawab dengan sendirinya. Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunnah itu sebagai gps anda untuk memacu anda ke destinasi anda.


Islam adalah Keimanan dan Perbuatan (Amal)

Islam adalah agama Allah SWT yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, di mana ia berintikan keimanan dan perbuatan.

Keimanan itu merupakan 'aqidah dan pokok yang mana dari pokok itu lahirlah cabang-cabang yakni syariat Islam itu sendiri.

Keutuhan pada pokok itu akan menghasilkan cabang-cabang yang keras yang diliputi oleh daun-daun untuk memberikan tempat teduh kepada sesiapa yang singgah di bawahnya.

Cabang-cabang itu tadi adalah amal atau perbuatan yang lahir daripada keimanan dan akidah ataupun pokok itu.

Kerana itu, keimanan dan perbuatan adalah saling berkaitan dan tidak berpisah ibarat pohon dan cabang-cabangnya.

Kerana hubungan yang erat antara amal dan iman, maka Allah SWT telah merakamnya di dalam al-quran;

"...dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebaikan, bahawasanya mereka itu akan memperoleh syurga yang dibawahnya mengalir beberapa sungai."
Al-Baqarah: 25


"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, baik ia lelaki atau perempuan dan ia seorang beriman,maka pastilah Kami akan memberinya kehidupan yang baik dan pasti Kami beri balasan dengan pahalanya, menurut yang telah dikerjakan dengan sebaik-baiknya."
An-Nahl:97


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka Tuhan yang Maha Pengasih akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang."
Maryam: 96


Kerana ini, bagaimanakah boleh seseorang itu menganggap bahawa dia telah beriman walhal tiada amal yang telah dibuatnya? Mereka mengatakan, "aku beriman dengan Allah" padahal mereka mengenepikan perintah yang wajib,apatah lagi yang sunat?

Apakah kita boleh merasa senang kerana kita telah didaftarkan sebagai Muslim di dalam kad pengenalan kita dan surat beranak kita, sedangkan amal kita 0 (kosong) pada Allah SWT? Bagaimanakah kita boleh menyangka kita akan memperoleh syurga yang abadi melalui angan-angan dan perbuatan membuang masa?

Kerana itu, ingatlah! Islam itu keimanan dan amal!

Monday, June 15, 2009

Antara madu dan air


Seorang raja di negara X telah mentitahkan pada semua rakyatnya untuk mengisi satu tempayan besar dengan madu asli. Lalu dibawalah tempayan itu di tengah-tengah bandar negara X oleh pengawal-pengawal baginda. Dibiarkan sahaja tempayan itu selama seminggu supaya setiap rakyat dapat mengisi tempayan itu dengan madu.

Selepas seminggu perintah itu berlangsung, maka diangkatlah tempayan itu dan dibawa pulang ke istana raja tersebut. Apabila raja itu membuka penutup tempayan itu, baginda merasa pelik kenapakan nampak begitu cair sekali madu itu. Apabila dirasa madu itu dengan lidah baginda sendiri, alangkah terkejutnya baginda apabila madu tersebut cair, kerana banyak dicampuri dengan air.

Dengan itu, baginda telah menghantar beberapa mata-mata untuk menanyakan perihal itu kepada rakyatnya. Apabila selesai mata-mata itu menjalankan tugas mereka, mereka pulang dan memberitahu raja kenapakah tempayan itu penuh dengan air, tetapi tidak dengan madu. Inilah jawapan mata-mata itu;

"Tuanku, selepas dikaji selidik, jawapan yang patik terima ialah ramai dikalangan rakyat tuanku berfikir, "tentulah orang lain akan mengisi dengan madu, jadi aku tak perlulah isi dengan madu,cukuplah sekadar dengan air kosong. Sedikit air tentu tidak akan menjejaskan madu itu." Dan hampir keseluruhan rakyat tuanku berfikiran sebegitu"

Di mana anda meletakkan diri anda? Renung-renungkanlah.

Saturday, June 13, 2009

Fear Allah. Do You?


Rasulullah SAW bersabda;
"Takut kepada Allah merupakan asas kepada segala kebijaksanaan."

Suatu ketika Rasulullah SAW datang kepada seorang sahabat yang sedang membaca Al-Quran. Tatkala sampai kepada ayat;

"Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti (kilapan) minyak alangkah dahsyat keadaannya." (ar-rahman:37)

Bulu romanya tegak dan beliau hampir-hampir sesak nafas kerana tangisannya yang amat sangat. Meraunglah beliau seraya berkata;
"Aduhai! Apakah yang akan terjadi padaku pada Hari terbelahnya langit. Celakalah diriku!"

Lalu bersabda Rasulullah SAW kepadanya;
"Raunganmu menyebabkan para malaikat juga menangis."

Seorang sheikh yang masyur, Fudhail berkata;
"Perasaan takut kepada Allah, membawa seseorang itu kepada segala perkara yang baik."

Rasulullah SAW bersabda;
"Allah berfirman: Aku tidak memasukkan dua ketakutan ke dalam diri hambaKu. Jikalau dia tidak takut kepadaKu di dunia ini nescaya Aku akan takutkan dia pada hari hari akhirat. Dan jikalau dia takut kepadaKu di dunia ini, nescaya Aku selamatkannya daripada segala ketakutan pada hari Akhirat."

Rasulullah SAW juga pernah menyebut;
"Segala sesuatu akan takut kepada orang yang takut kepada Allah, sebaliknya setiap sesuatu akan menjadi punca ketakutan kepada orang yang takut selain daripada Allah."





Di dalam hadith yang lain, Rasulullah bersabda;

"Wajah yang dibasahi dengan setitik halus daripada airmata hasil daripada perasaan takut kepada Allah akan menyelamatkan orang itu daripada memasuki neraka."

"Apabila seorang Muslim menggeletar lantaran takut kepada Allah, maka segala dosanya akan gugur daripadanya sebagaimana gugurnya daun-daun daripada pohon"

"Seorang yang menangis kerana takut kepada Allah tidak boleh memasuki neraka sehinggalah susu masuk kembali ke dalam puting susu ibu (yakni sesuatu yang mustahil)"


Suatu hari bertanyalah 'Uqbah bin Amir ra kepada Rasulullah SAW;
"Apakah cara yang dapat membawa kepada keselamatan?"

Baginda menjawab;
"Tahanlah lidahmu, duduklah di dalam rumah dan tangisilah terhadap dosa-dosamu."

'Aisyah ra pernah bertanya pada Rasulullah SAW;
"Adakah sesiapa daripada pengikut-pengikut tuan yang akan memasuki syurga tanpa hisab?"

"Ya." Jawab baginda. "Seorang yang selalu menangis terhadap dosa-dosanya."

Terdapat pada hadis yang lain;

"Dua titisan yang paling disukai oleh Allah, satu titis air mata yang keluar kerana takut kepada Allah dan satu titis darah yang gugur di jalan Allah."

Oleh itu saudaraku,bagaimanakah kita?

Thursday, June 11, 2009

Short Biography of Hasan al-Banna and Ikhwanul Muslimin

Pada Malam Ini..




Pada malam ini..

Renungkanlah sejenak sebelum anda tidur..

Apakah semua nikmat yang telah Allah berikan pada diri anda, anda bersyukur dengan setiap nikmat itu?

Apakah anda benar-benar bersyukur anda dilahirkan sebagai seorang muslim?

Apakah anda menyembah Allah kerana anda inginkannya dan anda ikhlas dalam mentaatiNya atau kerana ibu dan ayahmu adalah seorang muslim?

Ambillah sedikit masa untuk memikirkan segala persoalan di atas..

Ketakutan Umar terhadap Allah swt

Umar r.a. selalu memegang jerami sambil berkata;
"Aku berharap menjadi seperti jerami ini."

Ada juga beliau berkata;
"Alangkah baiknya jika ibuku tidak melahirkan aku."

Suatu ketika beliau sedang sibuk dengan suatu pekerjaan yang penting. Pada ketika itu datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu hal yang kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar lalu memukul bahunya sambil berkata;

"Apabila aku duduk untuk menerima perkara tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh temeh."

Orang itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar r.a. memanggilnya kembali lalu memberinya cemeti dan berkata;

"Pukullah aku dengan cemeti ini agar kesalahanku berbalas."

Orang itu membalas;

"Aku maafkan kamu kerana Allah."

Umar r.a. pulang ke rumahnya lalu bersolat dua rakaat taubat serta mencela dirinya sendiri;

"Wahai Umar! Kamu dahulu hina maka Allah telah mengangkat darjat kamu, kamu sesat tetapi Allah telah memberi hidayah kepadamu, kamu dahulu sangat mengaibkan tetapi Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai suatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan, kamu memukulnya?! Apakah jawapan yang akan kamu berikan kepada Allah kelak?"

Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil.



Peringkat Dakwah Rasulullah

Seruan Islam semasa hidup Rasulullah telah menempuhi 4 peringkat yang berlainan:

Peringkat pertama:
Seruan secara sulit memakan masa selama 3 tahun.

Peringkat kedua:
Seruan secara terang-terangan tanpa kekerasan, berjalan hingga berlakunya Hijrah.

Peringkat ketiga:
Dakwah secara terang-terangan menggunakan senjata untuk mempertahankan diri berjalan hingga pembukaan Mekah.

Peringkat keempat:
Dakwah secara terang-terangan dan mengangkat senjata terhadap mereka yang cuba menghalang perjalanan dakwah. Dalam peringkat inilah dipraktikkan syariat-syariat Islam dan perintah berjihad pun diturunkan.

Wednesday, June 10, 2009

Kelahiran

Tanggal 10 Jun 2009 menyaksikan kelahiran seorang al-banna baru di tengah-tengah masyarakat Muslim Malaysia. Biarpun hanya bersenjatakan papan kekunci dan tetikus, namun tekad dan azam yang tersemat kukuh di dalam jiwanya akan nyata menggoncang medan dakwah tanah air. Berbekalkan iltizam dan tarbiyah yang dilalui, dia akan terus memastikan suburnya medan dakwah di tengah-tengah kesibukan laman sesawang. Dengan tujuan untuk menjernihkan dunia teknologi maklumat dari anasir-anasir yang tidak sihat, dia yakin dengan wujudnya wasilah ini akan dapat menyediakan satu platform baru untuk masyarakat mencari santapan rohani buat diri mereka.